Sticker kpd ahli2 J.B.P

Sticker kpd ahli2 J.B.P

Saturday, October 16, 2010

"PARANG TERBANG"

Komunis terkejut tubuh tak lut peluru

SELAIN semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang begitu membara, kehebatan Panglima Salleh dipercayai terletak pada kekuatan ilmu batin yang dikuasainya sehingga menyebabkan ramai komunis takut untuk berhadapan dengan tokoh itu.

Pengkaji yang juga penulis novel sejarah, Zaharah Nawawi, berkata berdasarkan kajiannya mengenai sejarah hidup dan perjuangan Panglima Salleh, ramai kenalan atau pihak yang mengenali tokoh itu menceritakan bahawa kekuatan ilmu batinnya menyebabkan beliau mampu melakukan beberapa perkara luar biasa.

"Mengikut cerita, beliau boleh menjelma seperti kucing, menyelinap masuk ke dalam rumah daripada celah lubang yang kecil malah boleh mengghaibkan dirinya.

"Bagaimanapun, beliau menggunakan ilmu batin yang dikuasainya ke arah kebaikan iaitu dengan memerangi komunis," katanya yang mengabadikan kisah perjuangan Panglima Salleh dalam novelnya 'Panglima Salleh Selempang Merah' yang diterbitkan pada 1988.

Zaharah berkata, kehebatan ilmu batin Panglima Salleh juga menyebabkan berlaku beberapa kejadian aneh sehingga menyebabkan komunis berasa gerun tatkala berhadapan dengan tokoh itu ketika pertempuran.

"Bayangkan, peluru komunis macam hujan tetapi tidak kena pada jasadnya, yang kena hanya batang pokok. Ketika itu komunis melihat tubuh Panglima Salleh menjadi gergasi dan mereka menembak ke atas jadi kena pokok saja.

"Ketika Panglima Salleh pergi ke Batu Pahat pula, seluruh bandar sunyi sepi kerana musuhnya melihat di langit tertera kelibat gergasi hitam menyebabkan mereka takut dan melarikan diri," katanya.Katanya, antara kehebatan Panglima Salleh yang menjadi buah mulut ramai pihak adalah cerita mengenai komunis yang melihat parang milik Tentera Selempang Merah terbang mencari kepala mereka untuk dicantas ketika pertempuran.

Pasukan Panglima Salleh juga dikatakan menggempur komunis dengan menggunakan senjata tradisional seperti parang dan tombak walaupun pengganas itu menggunakan senjata api.

Panglima Salleh sendiri memiliki sebilah pedang luar biasa yang diperoleh beliau di Kampung Tebing Tinggi. Pedang istimewa warisan pusaka Raja Riau itu diberikan seorang lelaki bernama Taib sebagai bayaran tukaran kepada segantang beras yang ingin dibeli Taib daripada Salleh. Pedang itu dikatakan mampu memberi tujuh kesan cantas dengan sekali libasan.

Zaharah berkata, tubuh fizikal Panglima Salleh hanyalah kecil tetapi semangat dan keberaniannya menyebabkan beliau tidak gentar menentang komunis malah turut sama menyertai pertempuran. Panglima Salleh juga dikatakan memiliki kebolehan melentur besi.

Sebelum turun untuk memerangi komunis, Panglima Salleh akan melakukan amal ibadat tertentu antaranya berpuasa, berzikir serta mengamalkan bacaan wirid tertentu malah kaedah persediaan serupa turut dilakukan pengikutnya.

"Sebelum bertempur, Panglima Salleh akan memilih pengikut berasingan mengikut kampung, beliau akan memilih pengikut yang tidak terlalu tua atau terlalu muda dan akan menepuk bahu bagi menguji tahap keberanian pengikut yang ingin menyertainya berperang.

"Selepas itu beliau akan menyuruh pengikut terbabit berkumpul di rumahnya untuk melakukan persediaan dengan beramal ibadat, solat hajat dan menikmati jamuan," katanya.

Seterusnya semua pengikut terbabit akan meminum air dari tempayan yang dijampi Panglima Salleh malah beliau akan memberi secebis kain merah kepada setiap daripada mereka.

"Ramai beranggapan yang Panglima Salleh dan anak muridnya yang menerima cebisan kain itu kebal tetapi mengikut seorang daripada pengikutnya, mereka semua tidak kebal.

"Panglima Salleh memberi cebisan kain merah dan menjampi air tempayan untuk diminum pengikutnya sebagai permainan psikologi, supaya pengikutnya lebih bersemangat dan yakin ketika bertempur. Mungkin kain merah itu diberi supaya beliau dapat membezakan pengikutnya dengan komunis apabila terkorban," katanya.

SEJARAH DAERAH KU YANG INDAH "BATU PAHAT"

Sejarah Batu Pahat (Source : Website PD Batu Pahat)

Pada zaman dahulu, Batu Pahat dikenali sebagai Pulau Kundur dan Sungai Batu Pahat juga dikenali sebagai Sungai Kundur. Ianya merupakan petempatan-petempatan kecil yang berasingan yang dibuka oleh orang-orang kenaman dan orang-orang besar seperti penghulu dan ketua-ketua kampung. Sebagai contohnya semasa pemerintahan Sultan Hussin di Singapura dan Johor, dua orang ketua dari orang-orang Melayu Daik, dan seorang lagi dari Simpang Kiri bernama Rapang dari keturunan Orang Besar Pahang telah mengadap Sultan Hussin. Mereka berdua telah diberi taraf penghulu oleh Sultan Hussin di tempat masing-masing pada tahun 1834.

Berikutan dengan pembukaan petempatan-petempatan kecil ini, maka kawasan Batu Pahat ini telah bertambah maju dan meluas. Maka pada tahun 1885 beberapa orang keturunan Inggeris iaitu nama-namanya Stiple, Jackson dan Watt telah membuka sebuah ladang kopi di kaki Bukit Penggaram iaitu berhampiran dengan Pengkalan Jeram. Pemborong yang telah mengerjakan lading itu adalah seorang Cina bernama Lim Soo Poon telah menjadi seorang kaya (taukeh) dan ia telah dapat membuat empat pintu rumah batu berdekatan dengan Sungai Batu Pahat.

Usaha- usaha untuk membuka Bandar Batu Pahat semakin giat dijalankan pada tahun 1888 oleh Dato' Yahya bin Awaluddin yang juga dikenali sebagai Dato' Yahya Tinggi di suatu kawasan Bukit Senangin, Kampung Tambak, tebing kanan Sungai Batu Pahat. Tetapi usaha beliau menemui kegagalan kerana faktor geografi dan ekonomi yang tidak sesuai. Malah menurut kepercayaan orang tua yang ada di kawasan itu tidak boleh dijadikan bandar kerana akhirnya akan dimasuki "angin". Akhirnya tempat itu ditinggalkan begitu sahaja. Di tahun yang sama juga, seorang lagi pembesar yang bergelar Dato' Yahya Rendah cuba membuka Bandar di kawasan Senangar tetapi gagal juga kerana orang-orang tua pada masa itu menyatakan "nanti mulut ternganga".

Walaupun begitu, pembukaan petempatan-petempatan baru masih juga diteruskan. Pada tahun 1889 Orang Kaya Sidek bin Ismail telah membuka satu petempatan di seberang Kampung Minyak Beku yang berdekatan dengan Kampung Jakun dan kawasan ini dinamakan Benut Selamat. Tetapi tidak lama kemudian nama ini telah bertukar kepada Bagan. Ramai orang-orang yang tertarik ke tempat itu termasuk juga orang yang datang dari Pulau Jawa, Madura dan lain-lain pulau. Orang-orang Jawa yang diketuai oleh Haji Ibrahim telah membuka kebun-kebun kelapa dan kopi. Di antara orang-orang yang terkenal di kampung itu ialah seperti Pawang Abu, Haji Arshad (Orang Melaka) dan Mohamed Tab (Orang Muar).

Jadi sehinggalah pada tahun 1893, barulah Dato' Bentara Luar iaitu Dato' Muhamad Salleh bin Perang berjaya memulakan usaha bagi membangunakan Bandar Batu Pahat di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala sungai Batu Pahat.

Kemajuan Bandar Maharani yang telah dibuka pada tahun 1884, mencabar keupayaan penghulu-penghulu Batu Pahat bagi membuka sebuah Bandar. Tambahan pula memandangkan kemajuan yang pesat di kawasan sekitarnya seperti Serum, Bertam, Tebing Tinggi, Kampung Sejagong, Langkap, Chaah dan lain-lain lagi, maka satu perjumpaan telah diadakan di Kuala Simpang, terdiri daripada orang-orang kaya, penghulu-penghulu, Menteri Penghulu dan Jenang-jenang (gelaran bagi ketua orang asli) yang dipengerusikan oleh Encik Abdul Hamid bin Ahmad Ketua Pengaman Batu Pahat. Keputusan mesyuarat tersebut telah melantik Penghulu Rahmat bin Ragam (Penghulu Simpamg Kanan) dan Penghulu Kitam bin Mohd. Shah (Penghulu Simpang Kiri) mengadap Sultan Abu Bakar memohon Dato' Muhamad Salleh bin Perang membuka satu bandar untuk Batu Pahat. Mereka berkeyakinan Dato' Bentara Luar akan berjaya membuka sebuah lagi Bandar kali ini di Batu Pahat.

Pada 4hb. November 1893, Dato' Muhamad Salleh yang pada masa itu diam di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Pada 11hb. November 1893, Sultan Abu Bakar telah bertitah kepada beliau:

Aku disusahkan oleh dua Penghulu Rahmat dan Kitam. Dua tiga kali berjumpa dengan aku minta engkau membuka Batu Pahat. Aku jawab dengan Rahmat dan Kitam, jangan engkau semuanya sumpah dan tidak ikut apa-apa perintah dia kelak. Dia jawab pada aku, tidak sekali-kali. Aku fikir bolehlah engkau buka Batu Pahat itu, mana-mana tempat anggaran engkau hendak jadikan Bandar...

Kedudukan tempat yang hendak dijadikan Bandar adalah kira-kira 15 kilometer dari kuala sungai Batu Pahat, sebelah kanan tebing mudik sungai. Dato' Bentara Luar memilih kawasan ini kerana senang dan boleh merapatkan kapal-kapal besar yang dianggarkan dapat masuk kesungai dengan membina sebuah dermaga bagi kemudahan perdagangan laut. Sungguhpun kawasan yang hendak dijadikan Bandar rendah, sering ditenggelami air masin sewaktu air pasang besar dari laut, kira-kira 2 kilometer ke darat tanahnya tinggi berbukit dan subur bagi tanam-tanaman.

Dato' Bentara Luar membuat rumah kediamannya di Kampung Penggaram bertentangan dengan Tasek Kadri untuk membuat kerja membuka Bandar.

Pada 2hb. Disember 1893, fakir menjalankan kerja menjalankan pekerjaan ukur-mengukur dari jalan kebun kopi ke Gunung Penggaram sampai ke Sungai Penggaram. Di tepi Sungai Penggaram itu fakir jadikan sebuah rumah atap tempat duduk fakir. Fakir jalankan pekerjaan membuat jalan dalam itu. Fakir mulakan menjalankan membuat rumah, pejabat, polis mahkamah dan tambak menambak batu di jalan...

Kerja mengukur, merancang dan membangunkan pusat Bandar pentadbiran daerah telah berjalan lancar dengan bantuan kuat dua orang penghulu itu termasuk perbelanjaan yang dipungut dari orang tempatan dan juga bantuan kewangan dari Orang Kaya Bagan serta kewangan Dato' Bentara Luar sendiri.

Pembukaan rasminya telah dilakukan pada 1hb. Januari 1894 oleh Dato' Muhamad Salleh bin Perang sendiri yang dihadiri oleh Orang-orang Kaya, Penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Kemuncak majlis perasmian itu ialah istiadat menaikkan bendera negeri Johor di Bukit Penggaram yang sekarang menjadi tapak dan kawasan rumah kediaman Pegawai Daerah dan seterusnya bukit itu disebut orang Bukit Bendera hingga hari ini. Seterusnya selepas itu pegawai-pegawai tadbir pun disusun dan pejabat-pejabat kerajaan seperti mahkamah, polis. penjara, rumah sakit dan lain-lain juga diwujudkan satu demi satu. Perkembangannya berjalan dengan baik dan lancar dan dalam masa sebulan sahaja jumlah hasil kutipan telah mencapai $ 1,500.00.

Pada 1hb. Disember 1894, diadakan satu majlis pengisytiharan menamakan bandar itu dengan nama Bandar Penggaram mengambil sempena nama Kampung Penggaram yang sedia ada di situ yang menjadi kampung kediaman Penghulu Rahmat.

Selain diwujudkan system pentadbiran moden dengan pegawai-pegawai tadbir yang tertentu menggantikan sistem tradisional, Batu Pahat mula berkembang maju di mana Dato' Muhamad Salleh bin Perang yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat, kemudiannya menjadi Pesuruhjaya Kerajaan, telah memainkan peranan yang amat aktif.

Orang-orang kampung telah digalakkan dan digesa membuka kebun untuk bercucuk tanam dan membuat parit tali air dan dalam masa yang sama pemodal-pemodal asing mula datang membuka kebun, ladang dan berniaga di Batu Pahat. Kebolehan Dato' Bentara Luar berbahasa Cina merupakan faktor menyebabkan beliau pada umumnya disukai oleh orang Cina dan faktor yang membawa kepada kemajuan ekonomi dan harmoni di daerah ini.

Pentadbiran Batu Pahat di bawah pimpinan Dato' Bentara Luar berjalan lancar dan mengagumkan, ini dinyatakan oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor (General Commisioner) dalam rangka lawatan tugasnya di Batu Pahat pada 21hb. hingga 24hb. Disember 1896.

Kemajuan ekonomi Batu Pahat dapat diukur berdasarkan pendapatan daerah yang didapati sepanjang tahun. Masa bandar ini dibangunkan dalam tahun 1893 pentadbiran daerah berjaya mengutip sejumlah $ 15,000.00 sahaja tetapi dalam tahun 1910 pendapatan tahunan mencapai jumlah $ 55,375.00.

Zaman Dato' Bentara Luar berakhir pada pertengahan tahun 1911 apabila Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat menggantikan Dato' Bentara Luar. Batu Pahat mengalami zaman baru bila menjelma pula system pentadbiran yang seiringan dalam mana Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat berbangsa Inggeris untuk menjalankan pentadbiran.

Kini Batu Pahat terus membangun dan muncul sebagai salah satu daerah yang termaju di negeri Johor Darul Takzim dan mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.

Saturday, October 2, 2010

Cayalah jawa...

dr fadzillah kamsah--jawa
muhammad taib--jawa
muhyidin yasin--jawa
ghani othman--jawa
ustaz noh gadut--jawa
khir toyo--jawa
dr hassan ali--jawa
datok khaled nordin--jawa
tan sri ali hashim--jawa
amy search--jawa
nash--jawa
tam spider--jawa
exist--jawa
ajai--jawa
lihatlah antara mereka-mereka yang terkenal yang mempunyai darah keturunan jawa...berbanggalah kita sebagai seorang yang berketurunan jawa....

Bismillahirahmanirahim...

Pertama sekali ingin diucapkan salam sejahtera dan selamat datang ke blog J.B.P (Jawa Batu Pahat). Di dalam log ini akan menghimpunkan pelbagai informasi dan maklumat berkaitan dengan masyarakat J.B.P seperti dari kesenian, adat istiadat, cara hidup masyarakat J.B.P dan pelbagai lagi....Selain itu akan disertakan juga dengan nombor panggilan individu tertentu bagi memudahkan lagi proses untuk berhubung sekiranya perlu....pada peringkat awal ini ingin saya perkenalkan terlebih dahulu berkaitan dengan adat istiadat dan kesenian masyarakat J.B.P serta pelbagai tempat menarik di daerah yang amat kami sekalian cintai iaitu Batu Pahat....maklumat berikutnya akan dimuat naik dari semasa ke semasa....sama-samalah kita memelihara dan memartabatkan bangsa serta budaya kita sebagai masyarakat Jawa di daerah Batu Pahat ini.....Tanpa usaha dari kita mungkin generasi akan datang tidak akan mengenali lagi segala-galanya berkaitan dengan masyarakat Jawa yang kita cintai ini....mungkin satu hari ada diantara anak-anak yang berketurunan Jawa dan memiliki darah Jawa segan untuk mengakui keturunannya sendiri....sedikit demi sedikit gejala itu telah kelihatan pada masa ini...oleh itu sebelum ia menjadi semakin parah ayuhlah kita sama-sama membawa nama Jawa...terutamanya Jawa Batu Pahat ke peringkat yang lebih tinggi dan dikenali ramai....supaya kita akan lebih berbangga dengan masyarakat, keturunan, bahasa, adat istiadat, kesenian, dan pelbagai lagi berkaitan dengan masyarakat J.B.P.....TAK KAN HILANG JAWA BATU PAHAT DI DUNIA........
p/s untuk tempahan sticker sila hubungi En Omar 013-7494103 (RM6 sekeping untuk cermin kereta sahaja)

assalamualaikum...

Pertama sekali ingin diucapkan salam sejahtera dan selamat datang ke blog J.B.P (Jawa Batu Pahat).